14 Ciri Ideal Majikan Nilai Calon
Kita akan meninjau apakah persiapan majikan untuk memilih calon sesuai diambil sebagai pekerja, yang mana akan membawa kebaikan dan keuntungan kepada organisasi mereka.
Percayalah, kadangkala mereka juga pening kepala untuk memilih calon ideal kerana pemohon mungkin terlalu ramai atau sedikit sehinggakan merumitkan pemilihan. Kerumitan ini semakin bertambah kerana kurangnya calon yang mereka anggap ideal.
Jadi, untuk anda yang masih belum bekerja, mahu mencari pekerjaan lain atau kembali ke pasaran pekerjaan setelah lama “bersara”, tentukan bersiap sedia menghadapi cabaran ini. Oleh itu “tonjolkan diri anda” dari segala segi kerana ini akan membezakan anda dengan calon lain.
Salah satu proses perancangan sumber manusia ialah sesebuah organisasi perlu mencari, mengenal pasti dan menarik perhatian calon berwibawa untuk diambil sebagai pekerja mereka.
Pelbagai cara digunakan, antaranya melalui iklan, mencari dalam organisasi itu sendiri, agensi pekerjaan dan syarikat perundingan, minggu karier di sekolah dan di institusi pengajian tinggi (IPT), iklan web dan kadangkala rujukan pekerja mereka sendiri.
Setelah itu, calon difikirkan sesuai akan dipanggil temu duga. Ini untuk memastikan calon layak dipilih memegang jawatan ditawarkan. Biasanya, anda disuruh melengkapkan borang permohonan pekerjaan yang memerlukan butiran diri, ada yang ringkas dan tidak kurang pula menyeluruh.
Ada kalanya anda disuruh menjalani ujian kecerdasan, kemahiran mekanikal, bakat, ketangkasan, kecenderungan, kemampuan, perwatakan dan sebagainya. Ada pula organisasi menyediakan pusat penilaian bagi menguji calon dengan ujian simulasi, psikologi dan masalah realiti bisnes, biasanya untuk jawatan pengurus ke atas.
Kadangkala serentak ujian itu, anda akan ditemu duga. Cara ini bukan 100% tepat tetapi majikan boleh menilai kemahiran komunikasi, mengetahui lebih lanjut mengenai pengalaman pekerjaan, pengetahuan dan perwatakan calon.
Berbalik kepada ciri calon ideal, majikan akan meneliti dan membuat penilaian ketika proses pemilihan. Bagi graduan, ciri ini tidak asing lagi kerana sewaktu minggu induksi dan sepanjang masa di IPT, mereka telah didedahkan dan disuruh mempraktikkannya.
Sebahagian ciri itu adalah seperti berikut:
1. Kreativiti - perintis, unik, asli dalam menghasilkan idea/proses yang boleh digunakan.
2. Perspektif global - berfikiran terbuka, menyesuaikan diri dengan budaya dan mengekalkan jati diri, peka dengan isu dan kesan globalisasi, berpengetahuan luas.
3. Kepimpinan - keupayaan mendorong, memotivasi individu dan kumpulan ke arah visi dan matlamat yang sama, menjadi sumber rujukan, komunikasi tepat dan hebat, tegas dan mementingkan pelaksanaan tugas dengan jaya.
4. Inisiatif - mengambil tindakan cepat dan berdikari, memberi usul, cadangan dan tidak perlu disuruh.
5. Yakin diri - yakin dengan kemampuan, idea dan tindakan diri.
6. Bekerja dalam kumpulan - keupayaan membina kumpulan mantap berorientasikan hasil, komited dengan matlamat organisasi, meningkatkan sinergi.
7. Inovatif - memberi pembaharuan terhadap idea sedia ada sebagai penambahbaik atau nilai tambah.
8. Analitikal - mengumpul informasi relevan secara sistematik dan menganalisis serta membuat rumusan, memahami kompleksiti, menggunakan logik dalam penyelesaian masalah.
9. Kemahiran penyampaian secara formal - mampu menyampaikan maklumat dengan efektif serta menggunakan peralatan audiovisual terkini, berinteraksi dengan pelbagai penonton dan mengawal sesi soal jawab dengan baik.
10. Pemikiran strategik - mengambil kira faktor dalaman dan luaran dalam penyelesaian masalah serta membuat keputusan, mengenal pasti strategi kritikal dan membawa pulangan tinggi, menggunakan informasi pasaran serta saingan dengan bijak.
11. Berketerampilan - sahsiah diri yang sopan dan menarik, ikhlas, menarik dari sudut intra dan interpersonal dan menghormati orang lain.
12. IQ+EQ+SQ tinggi dan seimbang.
13. Keusahawanan - keupayaan meneroka, membangunkan perniagaan dan berani ambil risiko.
14. Berkomunikasi dengan baik - penyampaian lisan dan penulisan jelas, yakin dan mudah difahami.
Aplikasikan ciri di atas dalam kehidupan seharian, baik di tempat kerja mahupun di luar. Contohnya, dari segi kepimpinan, jika anda masih menuntut, latih diri dalam kepimpinan dengan baik - membuli, menghina, memperkecilkan pelajar lain, tidak menghormati orang lain dengan menjerit-jerit dan berkasar serta menggunakan bahasa kesat bukannya kepimpinan!
Sumber Berita Harian