Cemerlang Dari Dalam Minda

Kali ini saya mahu berkata tentang kecemerlangan, secara spesifiknya, saya ingin berkata di mana tempat sepatutnya kecemerlangan bermula.

Sebelum kita mencapai kecemerlangan, kita perlu cemerlang di hati dan di minda terlebih dahulu. Kecemerlangan itu sendiri perlu berlaku, perlu terbit di dalam minda kita sebelum ia di zahirkan di alam realiti. Caranya, visualkan kecemerlangan yang Anda idamkan itu seolah-olah sudah berlaku sekarang ini, hari ini di saat ini dan Anda menjadi sungguh gembira kerana Anda sudah mencapai apa yang Anda inginkan. Bayangkan seolah-olah ia benar terjadi di depan mata Anda sekarang. Minda separa sedar peka kepada visual dan akan merakam segala apa yang Anda lihat, yang tergambar di dalam kepala tak kira ia reliti atau bayangan dalam minda sahaja. Fakta sains neurologi mengatakan, selain visual minda separa sedar kita peka kepada pergerakan (kinestetik) dan bunyi-bunyian (auditory). Jadi, bayangkan apa takrif kecemerlangan itu pada Anda, keadaaanya, suasananya, rupanya dan bunyi yang ada disekelilingnya. Imaginasikan secara terperinci, sedetail yang mungkin. Jika matlamat Anda mahu menjadi pelajar cemerlang, tanya pada diri Anda bagaimana maksud kecemerlangan pada diri Anda sebagai seorang pelajar. Misalnya mungkin pada hari Anda bergelar graduan di hari konvokesyen Anda atau bila mendapat pointer tinggi. Lihat dalam bayangan Anda bagaimana ramainya orang di sekeliling Anda, wajah kedua orang tua Anda, hilai tawa ceria rakan-rakan sekelas Anda dan Anda dapat melihat dengan jelas tangan Anda memegang segulung ijazah yang sudah tertulis nama Anda. Sesudah itu bayangkan bagaimana rupanya jubah konvokesyen yang Anda pakai, warnanya, jenis kainnya, pergerakannya bila di tiup angin dan tiap kali Anda berjalan, rasa kainnya bila Anda sentuh (licin ke, kasar ke) dan berat topi konvokesyen yang Anda pakai di atas kepala. Bayangkan sedetail yang mungkin menggunakan sepenuhnya kelima-lima deria Anda, penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Imaginasikan ia bagaikan sebuah filem gambar bergerak, bukannya gambaran mental yang statik sahaja. Jika Anda seorang pekerja dan matlamat Anda mahu menjadi pekerja cemerlang, tanya diri Anda apa maksud kecemerlangan pada diri Anda sebagai seorang pekerja, misalnya ia bermaksud bila Anda berjaya merangkul hadiah pekerja cemerlang, berjaya dinaikkan pangkat dan dapat kenaikan tangga gaji lebih daripada rakan sekerja Anda. Mungkin juga Anda jadi pekerja cemerlang bila gambar Anda terpampang di papan kenyataan jabatan Anda dan dengan tajuk besar bertulis "Pekerja Terbaik 7 Bulan Berturut-turut." Walaupun apapun ia, pilih satu yang ngam dengan hati Anda dan bayangkan situasi itu di dalam minda Anda sekerap yang mungkin, sedetail yang mungkin. Inilah apa yang saya maksudkan kecemerlangan dari dalam minda. Bayangkan sekerap mungkin setiap hari di kala Anda sudah cukup relaks, santai dan berada di waktu renggang. Hadirkan sekali perasaan gembira, seolah-olah ia sudah benar-benar berlaku saat ini. Semakin kerap Anda mengimajinasikannya, semakin peka minda separa sedar kepada apa yang Anda bayangkan. Ini juga selari dengan konsep Law Of Attraction, maksudnya bila kita mahu menarik apa yang kita mahukan, kita membayangkannya di minda dan menghadirkan perasaan diri kita sekali di ketika itu. Formulanya saya rumuskan begini, Fikiran + Perasaan = Penarikan. Dalam Bahasa Inggerisnya:
Thoughts + Feelings = Attraction.