Hari ini buat sejarah & dalam sejarah : Final Malaysia Cup 2008 Kedah vs Selangor

Kedah sukar digugat

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH shahril@kosmo.com.my

Media_httpwwwkosmocom_vqgxs
PENYERANG Kedah, Badrol Bakhtiar (kiri) cuba melepasi halangan pertahanan Selangor, Amri Yahyah. KENARI terbang tinggi, Red Giant tersungkur lagi.  Gelaran treble sekali lagi dimiliki Kedah. Itulah yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, gelanggang yang menjadi sejarah menyaksikan juara bertahan, Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut setelah menewaskan musuh tradisi, Selangor 3-2 pada perlawanan akhir. Kedah yang dibimbing jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah turut melakar sejarah baru dalam bola sepak negara apabila muncul satu-satunya pasukan yang berjaya mengekalkan kejuaraan treble buat musim kedua berturut-turut setelah melakukannya pada musim lepas. Malam tadi, hajat Selangor untuk menebus kekalahan mereka dalam Piala FA awal bulan ini tidak kesampaian apabila mereka sekali lagi gagal menyekat kemaraan skuad Hijau Kuning itu yang meneruskan kehebatan mereka musim ini. Bagi Azraai, kejayaan menjulang trofi paling berprestij itu menjadi bukti bahawa skuad mudanya ini memiliki kualiti tersendiri. “Saya gembira dan bersyukur dengan kejayaan yang dilakar pada malam ini (malam tadi),” jelas Azraai selepas perlawanan akhir itu. “Saya sangat terharu kerana komitmen yang ditunjukkan oleh para di atas padang telah dibayar dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia ini. “Pujian juga perlu diberikan kepada anak buah Dollah Salleh yang tidak berputus asa memberi tentangan biarpun ketinggalan 1-3 sebaik babak kedua bermula. “Kami bermula dengan agak baik dan berjaya menguasai permainan pada 20 minit pertama,” kata Dollah. “Tapi pemain mula selesa selepas mendahului 1-0 dan mereka semakin hilang fokus, kesilapan di benteng pertahanan pula menjadi punca Kedah bangkit menguasai permainan.” Pada perlawanan yang disaksikan lebih 40,000 penonton di stadium itu, Selangor dilihat bermula dengan garang apabila penyerang import dari Liberia, Frank Seator memberi harapan buat peminat Red Giant itu dengan jaringan pembukaan pada minit ke-18. Begitupun, tiga gol dalam masa 15 minit daripada Marlon Alex James (minit ke-31), Nelson Sam Martin (32) dan Mohd. Fadly Baharom berjaya mendiamkan seketika peminat Selangor pada babak pertama. Jaringan penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-77 memberi sedikit harapan buat peminat Red Giant, namun Kedah berjaya menghalang setiap gerakan Selangor sehingga tamat perlawanan. -kosmo-

Buletin Utama:

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=61FDuRFYBpQ]  

Kedah julang Piala Malaysia

Oleh Ahmad Khawari Isa dan Mohd Fadzrie Hazis bhsukan@bharian.com.my Tewaskan Selangor 3-2 RENTAK tari Kedah cuba diikuti, tetapi Selangor akhirnya dipaksa menggigit jari apabila gemilang jadi milik Sang Kenari yang terus bermegah dengan kemenangan 3-2 pada pertentangan final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Percaturan untuk cuba menyaingi rentak pantas Kedah dijelmakan Merah Kuning dan biarpun diakui usaha itu lebih baik berbanding ketika kecundang di final Piala FA Jun lalu, ia tidak cukup buat menghalang Kedah melengkapkan rangkulan tiga kejuaraan musim ini. Cuma ancaman awal jadi milik Selangor apabila pada minit ketujuh, rembatan percuma Indra Putra Mahayuddin berjaya menggegar tiang kiri gol Kedah. Penantian mereka tidak lama apabila 11 minit kemudian, berpunca daripada sepakan percuma Indra yang sekadar ditampan penjaga gol, Helmi Eliza Elias, Frank Seator paling awal meluru untuk menyepak masuk bola lantunan itu. Tetapi Kedah bukan mudah mengalah. Selepas beberapa ancaman, termasuk dua aksi hebat Suffian Rahman mempertahankan gawang Selangor pada minit ke-29, Hijau Kuning mengikat kedudukan dua minit selepas itu apabila penyerang Kedah, Marlon Alex James lolos meninggalkan seluruh benteng lawan sebelum menolak masuk gol penyamaan. Tidak cukup dengan jaringan itu, ledakan Nelson San Martin hasil umpanan ke belakang Khyrill Muhymeen Zambri, menyinggahi palang atas sebelum melantun turun menggegar jaring untuk Kedah di depan 2-0 seminit kemudian. Kesilapan Mohd Razman Roslan yang cuba menggelecek di depan gawang sendiri dihukum apabila Fadly Baharom cantik menyudahkan gol ketiga Kedah pada minit ke-37. Tandukan Seator yang terkena palang pada minit ke-60 menjelmakan petanda Selangor mahu bangkit melawan di babak kedua tetapi realitinya berbeza ketika Kedah terus menguasai untuk hampir 30 minit berikutnya bagi memaksa benteng Selangor terus bekerja keras. Kesungguhan itu bagaimanapun dibalas apabila Safee Sali yang hampir tenggelam pada majoriti aksi sebelumnya, memilih membuat ledak lencong di luar kawasan penalti yang melepasi jangkauan Helmi Eliza dan menerjah jaring buat gol kedua Selangor pada minit ke-77. Sayangnya, baki 13 minit permainan dan masa tambahan selepas itu agak terlambat ketika Kedah memastikan lakaran sejarah menjadi milik mereka semusim lagi apabila muncul pasukan pertama mengulangi pencapaian menakjubkan - memenangi ketiga-tiga piala utama buat musim kedua berturut-turut. -berita harian-    

First half:

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=61FDuRFYBpQ]  

Second half:

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=YMDWlKr2tV4]  

Highlight

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=SOl8nsiiI4w] LANGIT cerah seolah-olah berubah warna malam tadi. Tidak salah jika pencinta bola sepak ternampak jalur-jalur berwarna hijau kuning memayungi 37,000 penonton di Stadium Nasional di Bukit Jalil. Apa tidaknya, Kedah melengkapkan musim gemilang dengan menjulang Piala Malaysia, trofi kebanggaan rakyat Malaysia dan masyarakat bola sepak tempatan. Sang Kenari terbang tinggi, membunuh ego Gergasi Merah Kuning yang membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi Frank Seator. Sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin menuju gawang dan penjaga gol Helmi Eliza Elias, yang beberapa jam terdahulu diisytihar Pemain Paling Popular dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, sekadar menampan bola ke kaki Seator yang menyambar peluang itu dengan senang hati. Namun Kedah bukan calang-calang pasukan. Dengan Nelson San Martin menjadi kemudi tengah membekalkan peluang kepada Marlon James dan Khyril Muhymeen Zambri, hantaran dan pergerakan Hijau Kuning lebih kemas. Menerusi satu umpanan tepat Nelson, Marlon meloloskan diri sebelum menyepak jaringan penyamaan dengan tenang pada minit ke-32. Belum sempat Selangor bangkit bernafas semula, Kedah menghukum kealpaan benteng pertahan Merah Kuning seminit kemudian. Percubaan Khyril Muhymeen Zambri ditampan Evans Chisulo dan bola yang berlegar sekitar luar petak penalti itu pantas disambar oleh Nelson yang melihat tendangannya mencecah jaring Suffian Abdul Rahman. Lima minit kemudian gol Selangor bocor lagi. Tertekan, bek Selangor Razman Roslan tersilap umpan kepada Fadly Baharom, Pemain Muda Paling Popular 2008, yang terus menyepak tinggi menewaskan Suffian. Dengan kedudukan 3-1 kepada Kedah pada separuh masa pertama, sudah tentu Selangor sukar untuk mengheret Kedah ke masa tambahan. Bagaimanapun, Safee Sali memberi sekelumit harapan kepada penyokong setia Selangor apabila dia merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi percubaan cantik dari luar kotak penalti. Kesudahannya, bagaimanapun, tidak berubah. Kedah mengekalkan kejuaraan, manakala Nelson dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan. Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, meraikan kemenangan itu dengan perasaan bercampur baur. “Anak buah saya berjaya mencipta sejarah yang tidak mudah untuk diulangi. Kedah menjuarai tiga gelaran sekali gus buat dua musim berturut-turut, iaitu enam piala dalam masa dua tahun. Pada masa yang sama saya menujukan kemenangan ini kepada sifu saya, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil yang meninggal dunia bulan lalu. “Kemenangan ini juga cukup bermakna kerana ia hadir pada ulangtahun ke-50 pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah,” kata Azraai yang dipilih Jurulatih Paling Popular. Dollah Salleh yang muram akibat kekalahan itu menyifatkan barisan Kedah lebih pantas, lebih baik dan berhak muncul juara edisi ke-82 piala itu. “Saya mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatan saya, Azraai. Pencapaiannya agak luar biasa, kerana jarang kita dengar satu pasukan muncul juara berganda atau treble dua musim berturut-turut di tempat lain. Nelson pula menganggap kemenangan itu berpunca daripada semangat setiakawan pemain Kedah yang diterapkan oleh Azraai. “Secara peribadi, ini kemenangan yang cukup menyenangkan hati saya. Saya tujukan kejayaan ini kepada ibu. Saya kehilangan ibu tercinta akibat kanser awal tahun ini dan langsung tidak berpeluang menjenguknya di Santiago, Chile.” .:: www.fam.org.my ::.   Pencapaian Kedah:
Media_httpimg142image_spnfi