Memprogram Minda
Kali ini saya berkata tentang memprogram minda.
Sudah tentu ramai di antara kita yang biasa menggunakan komputer. Sudah tentu Anda faham, komputer menggunakan perisian untuk menjadikannya "bernyawa" dan mampu melakukan tugasan yang kita nak, apa saja yang kita nakkan, contohnya macam membuka internet untuk baca blog saya ni..
Apa jua program yang dimasukkan di dalam komputer tu, itulah yang akan dia jadi. Kalau tuan punya komputer nak guna komputer untuk tugasan menaip saja, dia hanya akan masukkan program perisian (software) untu menaip macam Ms Word atau Open Office Word dan jadilah komputer tu sebuah mesin yang hanya tahu mengeluarkan huruf dan nombor.
Kalau dia nak main game saja dan malas nak menaip, dia akan install perisian games, macam Super Mario ke, StarCraft ke atau The Sims.. misal kata tuan punya komputer nak guna komputer untuk menaip dan main games di kala tak menaip mahupun dengar lagu ketika main games, dia akan masukkan kesemua program tu ke komputernya.
Jadi, Anda sudah dapat menangkap apa yang saya maksudkan.
Minda kita juga seperti komputer.
Ia menerima semua yang dimasukkan ke dalamnya, bahkan ia tak pernah menolak langsung walaupun sedikit dan takkan pernah ada "error" ketika Anda sedang memasukkan program.
Apa yang Anda masukkan ke dalam minda Anda, itulah yang akan jadi.
Jika dimasukkan perkara-perkara positif, maka minda akan menjadi positif lalu menjadikan Anda orang positif dengan fikiran yang positif dan baik-baik belaka.
Jika Anda masukkan perkara-perkara negatif maka ia akan jadikan Anda seorang yang negatif, pemikiran negatif dan gelombang yang dikeluarkan oleh minda juga negatif.
Mengikut Law Of Attraction, apa yang Anda fikirkan selalu akan menarik fikiran yang serupa. Semua ni berlaku tanpa Anda sedari.
Jadi, kalau Anda berfikir negatif pasal orang lain, marah pada satu situasi, sesuatu perkara mahupun sesuatu benda, minda akan mengeluarkan arus negatif ke alam semesta (Universe).
Ia akan menarik fikiran serupa (sudah tentu yang negatif juga) dari orang lain, menemukan Anda dengan situasi-situasi negatif (sudah tentu yang buruk dan ia berlaku secara tiba-tiba) dan apa saja yang negatif.
Kenapa ini terjadi? Anda memprogram Minda dengan "program" negatif.
Jadi, ia menjadi negatif, mengeluarkan arus negatif lalu menarik (attract) semua yang negatif. Pernahkah ini berlaku pada Anda?
Ia pernah berlaku pada saya. Dah banyak kali, sehingga saya mempersoalkan kenapa Yang Maha Esa menjadikan hidup saya begitu, penuh dengan masalah bagaikan ada magnet penarik masalah dalam badan saya ni.
Namun, tanpa saya sedari, saya sendiri yang menjadikannya begitu. Saya selalu takde duit, hidup boros, kerja banyak yang salah-salah dan kurang produktiviti.
Dengan azam tinggi mahu merubah hidup sendiri saya mengkaji apa sebabnya dan cemana nak mengubahnya secepat mungkin.
Lalu, disitu saya bertemu dengan buku Dr Tuah Iskandar dan beberapa buku minda yang lain. Ini tak termasuk artikel-artikel yang saya dapat dari internet dan saya print untuk saya baca berkali-kali di mana saja bila-bila masa terutama sebelum tidur dan selepas bangun.
Rupa-rupanya, saya banyak memandang negatif pada kebanyakan orang, tak puas hati pada kebanyakan situasi dan semua perasaan ni tersimpan dalam minda saya.
Saya pun apa lagi, layan rasa tak puas hati tu satu hari bahkan sampai berhari-hari. macam syok sendiri, lebih banyak di "layan" lebih mengasyikkan.
Dalam hati, saya selalu meluat dengan orang lain, kurang senang dengan orang lain bahkan selalu menyalahkan takdir. Ini kisah benar saya.
Saya tak tahu ini adalah pemikiran negatif. Sebab itu banyak yang negatif muncul dalam hidup saya kerana tanggapan(thought) saya asyik "melayan" perasaan negatif. Pernah saya bertanya...
Mengapa tuhan beri masalah pada saya?
Mengapa bukan orang lain?
Mengapa hidup saya selalu bermasalah?
Saya dan Anda memprogram minda melalui perasaan, visual, imaginasi, tanggapan dan memori.
Sedar atau tidak, kita selalu berkomunikasi dengan minda. Minda kita mempengaruhi tubuh dan tubuh juga mempengaruhi minda.
Ia satu hubungan rapat antara minda dan tubuh (mind-body). Ada satu bidang yang mengkhusus dalam bidang ini dipanggil Neuro Linguistik Programming atau singkatannya NLP.
Jadi, untuk memprogram minda agar ia menjalankan kerja-kerja hebat untuk Anda, masukkan perasaan, tanggapan, fikiran dan visual yang baik-baik. Semua ini tersimpan dalam memori Anda.
Oleh kerana itu, selalu baca artikel motivasi, lihat gambar-gambar mereka yang telah berjaya (terapkan rasa kagum), lihat gambar benda-benda yang Anda idamkan (rumah, kereta, handphone, laptop) dan dengar kata-kata yang memotivasikan serta yang baik-baik.
Buat ini semua banyak kali. Jika nasi adalah santapan kita, membaca dan melihat gambar adalah cara untuk memberi santapan buat minda Anda.
Selain itu, berfikir positif pada setiap masa, berfikir positif pada semua orang (seperti yang saya terangkan sebelum ini) dan selalu bersangka baik.
Anda juga boleh memprogram minda dengan afirmasi diri (self-affirmation), imaginasi, kawalan pernafasan dan hipnosis.
Programkan ia dengan semua "program" yang positif, agar minda menarik situasi-situasi positif dan menemukan Anda dengan orang-orang positif sebagai langkah merealisasikan impian Anda.
Ingat, "program" tu adalah fikiran dan perasaan Anda.
Jangan sesekali terapkan fikiran buruk, "menyampah", meluat, sakit hati, geram mahupun "maha benci". Jika Anda selalu begini, Anda tanpa sengaja telah memprogram minda dengan yang buruk.
Lalu, itulah apa yang dibuat oleh minda Anda. Ia tak tahu menilai itu buruk ke baik, dia tahu buat saja ikut apa yang diprogramkan kepadanya.
Jika dilihat pada orang yang selalu mencaci maki, selalu mengumpat, selalu menyoalkan itu ini, selalu tak puas hati, selalu pentingkan diri dan selalu memandang buruk pada semua perkara, dia takkan pernah jadi orang cemerlang.
Jika sebegitu, Anda juga telah meletakkan had untuk menjadi orang cemerlang.
Bahkan, minda tidak dapat menjadikan Anda orang cemerlang kerana Anda tidak pernah berfikir cemana nak cemerlang bahkan menolak untuk jadi orang cemerlang tanpa Anda sedari.
Dengan itu, belajar untuk kawal pemikiran Anda.
Teliti apa yang selalu Anda fikirkan, jangan main lepas cakap (terutama yang dalam hati ) ikut sedap mulut saja.
Itu.. negatif namanya.