Mengapa Tak Bersemangat Bekerja
Kali ini saya masih lagi berkata tentang komunikasi minda. Saya mahu bertanya pada Anda, pernah tak Anda buat sesuatu, tapi rasa macam tak berminat tiba-tiba, macam ada yang tak kena dan macam ada yang tak ngam di hati?
Pernah tak, Anda melakukan sesuatu, selepas itu mempersoalkannya, bahkan melihatnya sebagai sesuatu yang jengkel dan merimaskan Anda, tapi Anda tak tau kenapa?. Misalnya, Anda sudah bangun penuh bersemangat mahu pergi ke tempat kerja, mahu mengalahkan prestasi rakan sekerja Anda hari ini, bila sampai kat sana mood tiba-tiba berubah?
Pernah tak Anda berfikir kenapa?
Saya juga pernah mengalami situasi ini. Ia merupakan masalah, kerana kita tidak mengawal "emosi" dalaman dan tidak mengawal komunikasi dengan minda kita. Kita gagal beritahu minda dari hari sebelumnya, bahawa kita yang seorang yang bersemangat hari ini.
Jika Anda mengalami situasi ini, ambil sekeping kertas dan tuliskan soalan, "Mengapa aku tidak ada semangat hari ini?" ataupun "mengapa aku tidak bermotivasi hari ini?"
Selepas itu, fikirkan jawapannya. Tulis apa saja yang terlintas di minda Anda ketika itu.
Jangan nilai dulu, tulis saja. Relaks, bertenang dan tarik nafas perlahan-lahan dan hembuskan perlahan lahan. Tulis lagi, sebanyak yang mungkin.
Anda akan temui, jauh di dalam hati Anda, timbul rasa takut, tidak yakin, malas dan asyik "melayan" kata-kata negatif, rasa meluat, cemburu, memandang rendah dan menganggap diri sendiri lebih daripada orang lain, ini semua tanggapan negatif yang timbul secara spontan di dalam hati Anda mahupun yang terbit dari minda Anda tanpa Anda sedari.
Sebab itulah, saya menyarankan sungguh-sungguh untuk bersangka baik pada semua keadaan, fokuskan pada ciri-ciri positif yang ada pada semua situasi, semua orang dan semua benda.
Dengan ini, minda akan memberi Anda mood yang baik, semangat kerja yang tinggi, keceriaan di awal pagi dan kesannya, meningkatkan produktiviti Anda hingga ke petang hari.
Dalam kes tadi, sebelum sampai di tempat kerja, cuba fikir semula, sekiranya jika Anda pernah :
-
Rasa meluat dengan macik yang jual nasi lemak kat tepi jalan
-
Sakit hati, maha bengang dan merengus tahap dewa sebab bas lambat sampai
-
Geram sebab lif lambat turun
-
Menyampah kerana ada orang cuba mengurat Anda dengan senyumannya!
-
Malas nak bangun pagi, rasa enak kalau tidur lagi.
-
Membayangkan wajah-wajah kengkawan kat ofis yang penuh dengan politik.
-
Tak selesa bila Anda tahu ada meeting hari itu.
-
Cemburu dengan kawan sekerja yang tergedik-gedik gayanya.
Inilah sebabnya mengapa fikiran positif Anda di awal pagi sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja TAK BERKESAN. Anda telah melihat lalu menilai orang lain, situasi dan perkara-perkata tadi dari sudut pandangan negatif.
Perasaan meluat, sakit hati, bengang, merengus, malas, menyampah dan geram (dan yang sewaktu dengannya) merupakan perasaan negatif, justeru ia membentuk pemikiran negatif, lalu kemudiannya menarik situasi-situasi negatif.
Minda Anda juga akan mengeluarkan gelombang negatif, kerana respon Anda negatif.
Ia akan meneutralkan fikiran positif, tanggapan positif dan rasa bersemangat di awal tadi sebelum Anda keluar dari rumah. Jadi, bersangka baik pada semua orang, semua keadaan, situasi mahupun benda-benda yang Anda lihat.
Anda adalah apa yang Anda fikirkan.
Untuk menjadi lebih baik, fikirlah yang baik, pandang semuanya dengan fikiran yang baik-baik dan berkomunkasi dengan minda cakapan yang baik-baik.
Mulakan hari ini juga.