Mindset Seorang Pencari Kerja - Bhg. 2
Dalam artikel lalu saya berkata mengenai bahagian pertama dalam Mindset Seorang Pencari Kerja dan panduan untuk mendidik hati Anda dalam usaha memprogram minda untuk mencari kerja. Semua bermula dari minda, kuasa minda dan segala yang berkaitan dengan minda pula mudah dipengaruh oleh hati juga perasaan yang berada di dalam hati.
Saya menulis di sini dari apa yang saya lalui sendiri. Saya sungguh berharap saya dapat letakkan gambar-gambar saya di masa lalu, ketika nak masuk bilik interview (yang berpeluh sakan satu badan sebab gemuruh) dan sewaktu saya bersama kawan-kawan bertungkus-lumus mencari kerja yang sesuai dengan kelulusan dalam bidang Perbankkan. Sayangnya, saya takde gambar tu semua. Di waktu itu pula kebanyakan bank komersil (commercial bank) lebih suka bergabung dan bila ia dah berlaku, sudah tentu berlaku pengurangan pekerja dalam sektor perbankkan. Ia bagaikan mimpi ngeri bagi kami semua. Tambahan pula saya juga dah pass exam FMUTM lepas study dan berkira-kira nak masuk jadi agen Unit Trust. Kalau nak di kira kelulusan, memang patut jadi Pegawai Bank dah tu, tapi peluang makin sempit dan desakan sebab takde kerja semakin menghimpit. Dah puas hantar resume, tunggu jawapan interview tapi takde apa-apa yang berlaku, langsung satu apa pun takde! Jadi, apa yang kami buat? Kami berbincang sesama sendiri dan kata sepakat telah diambil. Kami akan menjadi ibarat air dan asap. Hah? takkan dan bertukar jadi angin dan asap? ke jadi masuk angin keluar asap? Ishh, bukan! Kami cuma menjadi seperti air dan asap yang 'fleksibel'. Cuba tengok air, isi saja ke dalam apa jua bentuk bekas, ia akan mengikut bentuk bekas tu. Kalau bekas yang diisinya tu bulat, maka jadi bulat bentuknya. Kalau leper, leper juga bentuknya .. Walaupun kelulusan dalam bidang perbankkan, saya tekad untuk mencuba perkara baru yang berlainan dari pengkhususan saya. Selepas setahun menjadi supervisor di sebuah gedung pakaian lelaki, saya bekerja di dalam arena direct selling, di sebuah syarikat kad kredit 'faymes' di Malaysia ni, logo dia kaler hijau dan biru gelap. Di sana bermulanya perjalanan saya dalam kerja 'jumpa orang' dan bidang direct marketing selepas setahun dalam bidang retailing. Ketika itu saya banyak membaca buku mengenai skill komunikasi, skill presentation dan skill 'jual diri'. Tambahan pula kami diberi latihan dan tips menjual tiap minggu oleh pegawai atasan, lalu ini memberi peluang pada saya untuk mempraktikkan apa yang saya fahami dari buku yang telah saya baca. Itu sekelumit dari kisah diri saya, terus terang saya tak pernah kerja kat Bank! Sebenarnya, apa yang nak saya perkatakan hari ini adalah mengenai persediaan diri Anda. Pada artikel lepas, saya berkata tentang mindset. Kali ini, saya berkata tentang persediaan diri. Sesudah Anda membayangkan kerjaya idaman Anda dan percaya Anda akan dapat pekerjaan, Anda perlu bersedia dan 'be flexible'. Fleksibel di sini maksudnya sentiasa berubah sehingglah matlamat Anda untuk mendapat pekerjaan tercapai. Dalam usaha Anda mencari kerja, sediakan dua strategi yang saya namakan Pelan A dan Pelan B. Sebab, mana tahu satu tak menjadi, Anda ada satu lagi peluang kerja. Jadi, ini menjimatkan masa Anda dan tenaga Anda. Selain tu, bersedia untuk menghadapi suasana yang berlainan dengan apa yang anda dah biasa atau yang berlainan dari latar belakang Anda. Jika Anda seorang fresh graduate, mungkin kelulusan Anda di dalam bidang perbankkan tetapi tiba-tiba ditawarkan kerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah pusat latihan komputer sedangkan Anda takde kelulusan langsung dalam bidang komputer dan pemasaran!. Itulah sebabnya saya berkata mengapa Anda perlu jadi fleksibel dan pandai menyesuaikan diri dengan keadaaan semasa. Kemahiran sesuatu yang boleh dipelajari, termasuk juga kemahiran komputer, mekanikal kereta dan kemahiran matematik. Sebab, ia adalah logik dan yang itu-itu juga cuma Anda perlu tahu satu persatu, langkah demi langkah dan biasakan diri dengannya. Katakan pada penemuduga yang Anda sanggup bermula dari bawah dan sanggup belajar apa saja yang perlu dilakukan untuk memahirkan diri Anda dalam organisasi tersebut. Katakan dengan bersemangat dan yakin. Jika Anda berbuat demikian, sudah tentu Anda akan diambil bekerja !. Lepas diterima, Anda perlu gigih. Melalui pengalaman saya, ramai BOSS sukakan pekerja baru yang tekun bekerja, tahan mental dan sanggup bermula dari bawah. Ah ha! Letak point ini di dalam resume Anda. Ini tak termasuk skill komunikasi dan skill PR (Public Relation), anda kena pandai bawa diri dan sanggup berdepan dengan segala yang baru Anda temui. Di sini cabaran bermula kerana ia akan menguji hati Anda yang sudah ditanam dengan benih-benih pemikiran positif. Bila baru masuk bekerja, Anda kena tahan dengan gelombang-gelombang negatif yang lahir dari minda senior-senior Anda sebab mereka mudah cemburu dengan orang baru yang berkelulusan dan yang tunjuk rajin bekerja. Ok, selain tu, dalam usaha Anda mencari kerja Anda perlu bijak kawal emosi, jangan mudah mengalah selagi Anda tak mendapat kerja. Peluang kerja takkan pernah habis, cuma yang habis adalah semangat dan ketekunan orang kita dalam menyesuaikan diri. Industri kita takkan pernah kehabisan peluang. Ia bergantung pada kebijakan graduan kita membaca peluang dan sejauh mana keberanian mereka mencipta peluang. Bila saya membaca post di blog SKOR Career, saya cukup terkejut bila dapat tahu dua beradik jadi usahanita berjaya dengan menjual Cup Cake. Kisah mereka sungguh menarik dan membuat saya bersemangat selepas membacanya. Jika Anda berminat nak baca, klik di sini.Kat bawah ni saya letak petikan gambar dari artikel di blog tersebut.
petikan dari blog SKOR Career
Bila kita mencuba benda baru minda kita akan lebih terbuka dan Anda pula akan dilihat sebagai satu aset berharga sebab tak ramai orang yang sanggup belajar benda baru dan sanggup bersusah payah memajukan diri. Bila Anda sudah bersedia dari segi fizikal dan mental, Anda mampu menyesuaikan diri dengan apa jua kerja baru dan apa jua kemahiran baru.
Jangan benarkan diri Anda di selubungi pemikiran negatif. Jangan kata cari kerja ni susah, kerja susah nak dapat, kerja ni payah nak datang pada Anda. Jika Anda berfikir begitu dan membayangkan susahnya cari kerja maka itulah yang akan jadi pada Anda.
Minda kita merealisasikan apa jua yang Anda di dalam hati kita dan di dalam fikiran kita. Minda takkan tahu apa yang kita fikirkan tu baik atau buruk. Sebab itu kena hati-hati bila Anda bercakap dengan diri sendiri di dalam hati.
Untuk mendapat kerja, bayangkan yang Anda sudah ada kerja sekarang ini walaupun sebenarnya tidak. Apa yang minda Anda tangkap melalui gambaran visual Anda, ia percaya itu betul dan akan merealisasikannya.
Bagaimana minda merealisasikannya, itu di luar kemampuan intelektual saya, termasuk juga pakar minda dari seluruh dunia. Takde sesiapa tahu bagaimana minda merealisasikannya. Ia terjadi begitu saja dan tak ternampak oleh mata kasar.
Apa yang paling penting, Anda tumpukan pada usaha dan jangan ambik kisah bagaimana minda merealisasikan matlamat Anda. Seperti yang saya katakan sebelum ini, yang penting Anda perlu berusaha dari dalam dan dari luar kerana minda akan tahu juga apa yang Anda usahakan. Jika Anda masih belum faham apa dia usaha dari dalam dan usaha dari luar ni, baca artikel yang lepas terlebih dahulu.
Sama ada terjadi atau tidak, Anda dapat kerja atau tidak, itu terpulang pada ketentuan Yang Maha Esa. Kita merancang tuhan menentukan, tapi dalam merancang kita perlu bertindak mengikut perancangan kita tu bukannya duduk tak buat satu apa.
Moga dengan tips ini, anda cemerlang hendaknya dalam usaha mencari kerja.