Tambat semula ringgit - Dr. M
SINTOK 20 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya sistem tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negara.
Beliau berkata, nilai mata wang AS yang semakin menyusut akhir-akhir ini, akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara. "Kita tidak boleh terus membiarkan ringgit diapungkan di pasaran dunia kerana nilai dolar yang terus jatuh akan merugikan negara kita. "Kita tidak boleh mengikut langkah negara lain yang membiarkan mata wang mereka terus diapungkan di pasaran dunia kerana kita mempunyai keupayaan dan simpanan yang mencukupi untuk melakukannya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pembangunan Institut Pengajian Tinggi Peringkat Kebangsaan di Executive Development Centre (EDC), Universiti Utara Malaysia di sini hari ini. Pada 1997, kadar tukaran ringgit ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah mengawal tukaran asing berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset. Pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih. Selepas pemansuhan itu, urus niaga mata wang dibuka untuk dagangan dan ia telah meningkat perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pengembangan perdagangan selepas ditolak sebarang turun naik mata wang. Dr. Mahathir berkata, jika nilai ringgit ditambat pada kadar tertentu, ia akan dapat menstabilkan kadar tukaran mata wang asing dan memberikan keuntungan kepada negara. "Saya berpendapat kita tidak perlu terus mengapungkan ringgit kerana kita tidak tahu nilai sebenar ringgit dan tidak dapat memperoleh keuntungan daripada ringgit. "Saya hanya boleh memberikan pendapat berdasarkan kepada pengalaman ketika menghadapi krisis ekonomi pada 1997 dan 1998," katanya. Beliau berkata, nilai ringgit perlu ditambat semula bagi mengelakkan negara turut terkena tempias sekiranya ekonomi AS merosot. Dr. Mahathir turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah panel khas terdiri daripada ahli politik dan pakar-pakar lain yang mahir dalam pelbagai bidang. "Tugas panel itu adalah untuk meneliti semua angka-angka ekonomi dan perlu memahaminya sebelum membuat apa-apa dasar untuk mengatasi kemerosotan ekonomi,'' ujarnya. Dr. Mahathir berkata, setiap masalah hendaklah difahami terlebih dahulu bagi memastikan dasar yang dibuat tepat dan sesuai dengan keadaan semasa.